Sebanyak 1,500 jawatan kosong ditawarkan oleh 25 majikan daripada pelbagai agensi dan syarikat sempena Hari Karnival Kerjaya Azam Kerja MyRezeki Fest di Dewan Kompleks Rakan Muda di sini.

Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, golongan belia tidak seharusnya melepaskan peluang yang ditawarkan itu.

Katanya, tawaran berkenaan dibuka untuk membantu rakyat, khasnya golongan muda yang mengganggur serta sedang mencari pekerjaan yang bersesuaian.

“Peluang-peluang pekerjaan yang ditawarkan ini adalah untuk membantu mereka yang mengganggur mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian dengan kelayakannya.

“Kerajaan tidak putus-putus membantu rakyatnya serta mencari pelbagai cara dan kaedah agar rakyatnya mendapat peluang-peluang seperti yang dikehendakinya,” kata Abdul Azeez ketika berucap dalam Majlis Perasmian Hari Karnival Kerjaya Azam Kerja MyRezeki Fest di Dewan Kompleks Rakan Muda, semalam.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) negeri, Mohd. Nizar Zakaria dan Pengarah Kemas negeri, Che Kamaruddin Che Ismail.

Menurut Abdul Azeez, pelbagai agensi serta syarikat swasta sentiasa mewujudkan peluang-peluang pekerjaan untuk membantu rakyatnya meningkatkan pendapatan ekonominya.

Katanya, melalui program itu juga beberapa buah agensi dan syarikat turut menawarkan 125 kekosongan jawatan untuk para siswazah.

“Promosi dan peluang pekerjaan sentiasa diuar-uarkan oleh kerajaan untuk menurunkan kadar pengangguran di kawasan-kawasan kampung dan pedalaman.

“Peluang ini sentiasa diberikan kepada semua rakyat tanpa mengira kaum, keturunan dan politik agar rakyatnya sentiasa dibela,” kata Abdul Azeez.

Sementara itu, graduan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Mohammad Fikri Saidin, 23, berkata, program seumpama ini memudahkan mereka mendapatkan pekerjaan seperti yang dikehendaki.

“Selain mengetahui peluang-peluang pekerjaan serta kekosongannya, pelbagai maklumat yang kami peroleh melalui program ini.

“Ia amat memudahkan kerana kami tidak perlu mengatur syarikat demi syarikat semata-mata untuk mencari pekerjaan yang biasanya berada di bandar-bandar besar,” kata Mohammad Fikri.

Farahatun Nadia Mat Din, 24, bekas pelajar Kolej Risda Melaka, berkata, dia amat mengharapkan agar pekerjaan yang dicarinya itu ditemui.

“Telah tiga tahun saya menganggur dan kali ini saya mengharapkan ada rezeki saya untuk mengisi jawatan kosong yang ditawarkan.

“Saya tidak terlalu memilih pekerjaan, asalkan bersesuaian dengan gaji yang ditawarkan, saya sedia berkhidmat pada bila-bila masa sahaja,” kata Farahatun Nadia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *